BIODATA PENULIS

ALLAHYARHAM HAJI ABDUL RAHIM BIN HJ. HUSSEIN

Allahyarham Haji Abdul Rahim bin Hj. Hussein dilahirkan pada 5hb Mac 1941 di daerah Batu Pahat, Johor. Allahyarham merupakan seorang bekas pendidik yang mengajar matapelajaran Sejarah, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris di beberapa buah sekolah rendah dan menengah di negeri Johor. Allahyarham juga pernah berkhidmat di dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada tahun 1978 sebagai Pegawai Kerahan Bertauliah sepenuh masa dan ditempatkan di Batallion 107 Askar Wataniah di Kluang, Johor. Kemudian, beliau telah ditugaskan mengetuai unit yang menjaga dan melindungi kepentingan lokasi Sasaran Penting di negeri Johor di Markas 7 Bridged di Kem Mahkota, Kluang, Johor dengan menyandang pangkat Kapten.Seterusnya, beliau kembali bertugas sebagai pendidik setelah menamatkan tempoh perkhidmatan dengan ATM pada tahun 1985.

Semasa kembali bertugas sebagai pendidik, allahyarham terlibat secara langsung untuk mendedahkan Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM) di peringkat pengenalannya oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (kini Kementerian Pelajaran Malaysia) khususnya dalam matapelajaran Bahasa Melayu. Beliau juga pernah dilantik sebagai Penolong Kanan di Sekolah Menengah Sri Menanti, Muar, Johor. Kemudian, allahyarham telah dipindahkan ke Unit Kokurikulum (Unit Sejarah), Jabatan Pendidikan Johor (kini Jabatan Pelajaran Johor) sehinggalah beliau bersara pada 5hb. Mac 1996.

Setelah bersara, Allahyarham telah melibatkan diri dalam bidang penulisan berkaitan sejarah negara, warisan dan budaya. Sebelum allahyarham meninggal dunia, beliau sempat menulis buku-buku yang berkaitan dengan sejarah negara, warisan dan budaya rakyat Malaysia sebagai perjuangan beliau untuk menyedarkan dan meningkatkan semangat patriotik cintakan negara, warisan dan budaya kepada rakyat Malaysia.

Allahyarham meninggal dunia pada 14 September 2004. Semoga Allah mencucuri rahmat keatas rohnya. Al-Fatihah.